Saturday, 30 June 2012



Tuesday, 28 February 2012


Laksa Teluk Kechai Kuala Kedah

Salam semua kepada pembaca aimannajmy dot com.Entri yang sebelum ni aku dah becerita mengenai Laksa Jalanan Teluk Kechai yang mana secara kebetulan terjumpa pakcik penjual laksa itu ketika on the way ke Kuala Kedah.Sila klik link tersebut noh kalo nak tau ceritanya.So entri kali ni nak becerita lagi detail mengenai laksa beras Telok Kechai.So best ke laksa ni.Sedap ke tak? Nak tau kena la rasa sendiri hehe.
So bagi mereka yang ingin berkunjung untuk merasai laksa beras teluk kechai ini maka boleh berbuat demikian dengan singgah di restoren Din Laksa Beras Teluk Kecai atau Zakaria Laksa Teluk Kechai.Kedua-dua restoren ini terletak bersebelahan antara satu sama lain.Macam mana nak pegi? Anda penah pergi naik Feri ke Pulan Langkawi melalui jalan Kuala Kedah untuk ke jeti? Ya kedua-dua restoren ini terletak di bahu jalan untuk menuju ke Jeti Kuala Kedah.
So camana nak cam Restoren ni? Ada satu hint mudah huhu… Kalo ampa tengok keta bersusun sepanjang bahu jalan serupa macam ada kenduri kawin tu maka situ lah terletak restoren ni.. Kedua-dua restoren memang ramai sungguh pengunjung. Aku pun taktau nak bagi petua camana kalo nak cam..sebab jarang pi huhu cuma kalo on da way menghala ke Jeti Kuala Kedah pandai-pandailah jengok belah kanan jalan seberang sana untuk tengok signboard restoren ni pastu U turn hehe.
Pendapat aku mengenai Laksa Teluk Kechai rasanya tidak pedas dan kuahnya cair.Rasanya mempunyai identiti yang tesendiri.So bagi sapa yang minat laksa jenis kuah agak pekat dan rasa pedas so laksa beras Teluk Kechai bukan untuk anda.Aku ada bawak member aku mai rasa laksa ni.. hampeh abih dia kondem.. sebab dia peminat laksa jenis pedas dan kuah pekat.So setiap orang mempunyai citarasa yang tesendiri maka terpaksalah aku menerima segala kritikan member aku itu sebab penat jauh nak mai rasa sekali dia kata tak best huhu…
Bagi aku kalolah restoren itu rasa tak sedap mana mungkin bertahun-tahun lamanya aku dah berkunjung ke restoren ini waktu dulu orang tetap ramai maintain mengunjunginya.Bersusun-susun kereta parking di bahu jalan.Bagi aku ianya berkait rapat dengan JENAMA itu sendiri.Teluk Kechai dan laksa adalah sangat sinonim dengan orang yang berkunjung ke sini.Bila orang lalu kawasan Teluk Kechai terus orang ingat pasai laksa.
Laksa pun ada macam-macam jenis ye tak.Ada laksa Johor, laksa Penang, laksa Singapore dan macam-macam lagilah.So bagi aku laksa Telok Kechai ni ada rasa yang tesendiri dan identiti resipi yang tersendiri.Aku pun peminat setia laksa dari kecik so bila dah makan berbagai jenis laksa dan brand name maka Laksa Teluk Kechai boleh diklasifikasikan sebagai brand name Laksa Teluk Kechai yang boleh ditrade mark kan sebab keunikan resipi yang tersendiri.
So kesimpulannya laksa paling sedap bagi aku ialah laksa arwah mak aku buat hehe..takdak sapa boleh celen.Aku dari kecik salu dok makan laksa.. arwah mak aku kerap buat jugak.So lidah ni dah sebati dengan resipi arwah mak aku dan resipinya sentiasa di ranking no 1 hehe… bagilah laksa mana-mana pun dalam dunia ini maka tak boleh nak celen dengan kesedapan laksa buatan air tangan ibuku.So diharapkan nanti aku dikurniakan isteri yang pandai buat laksa jugak hihi..dah melalut pulak aku so back to real topic hehe.
Ada apa dengan Laksa Teluk Kechai? Nak tau kena rasa sendiri nohh~ Bagi peminat tegar laksa kuah pedas dan pekat jangan marah noh kalo laksa Teluk Kechai ni tak menepati citarasa anda huhu… Kalo anda nak rasa jugak keunikan resipi orang Teluk Kechai so dipersilakan.Resipi turun temurun.Harganya sepinggan RM3.oo tanpa telur.Kalo nak letak teloq kena charge.Bapa ntah aku tak ingat seringgit kot.Oh ya lupa di kedua-dua restoren ini juga ada menyediakan juadah satay.
Akhir kata hayati video di bawah.Bagi sapa yang dah penah rasa maka berkongsilah dengan pembaca dengan memberikan komen di bawah sekian terima kasih.

Saturday, 28 January 2012

Syarahan :D


Syarahan !

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Dihormati Dif-dif Kehormat , Yang adil lagi bijaksana para hakim , tuan-tuan dan puan-puan serta hadirin sekalian . Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan . Tajuk syarahan saya pada hari ini adalah tentang ‘Kepentingan Mengamalkan Semangat Kejiranan Dalam Kalangan Masyarakat’ .
Hadirin sekalian ,
Definisi bagi jiran ialah orang yang tinggal berhampiran dengan kita sama ada di hadapan , belakang , di kiri atau di kanan kita.Dalam erti kata lain bagi jiran ialah orang yang tinggal di taman perumahan atau di kampung kita Fakta menunjukkan bahawa peratus rakyat Malaysia yang tinggal di satu kejiranan adalah kaum Melayu 60 %,kaum Cina 20 % dan kaum India 20%. Ini jelas mempamerkan bahawa kesepaduan antara kaum dan jiran tetangga amat penting untuk melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berwawasan tinggi .
Hadirin yang dihormati ,
Sikap acuh tak acuh yang sedang berjangkit di kalangan rakyat Malaysia sendiri tentang aspek kejiranan perlulah dibasmikan seluruhnya . Semangat kejiranan yang semakin pudar akan mengakibatkan ketidaksefahaman antara jiran tetangga dan kaum sejagat . Oleh yang demikian, kita haruslah menerapkan semangat kejiranan agar tidak menimbulkan permasalahan kaum .
Hadirin sekalian ,
Selain itu , jiran merupakan orang yang amat penting apabila kita berada dalam situasi kecemasan ataupun dalam bahaya. Sebagai contoh, ketika rumah kita dimasuki pencuri tanpa kita sedari dan dalam masa yang sama jiran kita menyedari kejadian tersebut. Jiran kita akan membantu dengan menghubungi pihak polis. Dengan ini , bukan sahaja kediaman kita selamat , malah ia juga telah mengurangkan kadar jenayah di kawasan kita serra merapatkan lagi jurang silaturrahim antara kita dengan jiran.
Hadirin yang dirahmati,
 Dengan adanya kesepaduan yang kukuh antara jiran tetangga,maka kerja-kerja yang berat akan menjadi ringan dan mudah . Ini kerana asas kejituan sesuatu kaum adalah keran amalan sikap tolong-menolong antara satu sama lain. Alhamdulillah, kini rakyat Malaysia boleh hidup dalam aman dan damai atas sikap bantu-membantu tak kira bangsa dan agama .
Konklusinya , semangat kejiranan perlulah dipupuk dari kecil kepada generasi muda supaya generasi yang akan datang akan menilai aspek kejiranan dan rukun tetangga sebagai satu ramuan yang penting dalam asas perpaduan kaum . 

KESAN-KESAN PENGAMBILAN MINUMAN BERAKOHOL !


Bahagian A (i): Ringkasan (20 markah)
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kesan pengambilan minuman beralkohol. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan
Arak adalah sejenis minuman yang beralkohol dan boleh memabukkan. Kandungan gula yang tinggi dalam minuman beralkohol ini juga boleh memudaratkan dan menjejaskan kesihatan si peminum. Oleh itu, agama Islam mengharamkan umatnya minum minuman keras.
Jika wanita hamil minum minuman keras, maka pertumbuhan bayi dalam kandungannya turut terbantut. Risiko bayi mengalami kecacatan atau menghidap penyakit sangat tinggi. Hal ini demikian kerana alkohol yang mengalir ke dalam tubuh si ibu akan memberi kesan kepada fizikal bayi serta menjejaskan kesihatannya.
Sekiranya pelajar yang minum minuman keras pula, mereka tidak mampu mengawal emosi sertahilang keupayaan berfikir. Keadaan menjadi semakin teruk apabila pelajar mula ketagihan minuman keras itu. Masalah tersebut akan merosakkan kesihatan pelajar sekali gus menjejaskan pelajaran dan masa depan mereka. Pengambilan alkohol juga boleh memporak-porandakan sesebuah keluarga jika Jika dalam sesebuah keluarga itu ada pemabuk.
Pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk setelah minum arak pula tidak dapat memberikan tumpuan semasa memandu. Perbuatan mereka ini melanggar undang-undang jalan raya serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Akibatnya, kemalangan mudah berlaku dan mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain. Oleh sebab minuman beralkohol ini sangat berbahaya, sepatutnya kerajaan mengharamkan penjualan dan pengedarannya di seluruh negara. Jika tindakan ini segera dilaksanakan sudah tentu rakyat dapat menjimatkan wang. Tindakan tersebut juga dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk. Bukan itu sahaja, rakyat Malaysia juga hidup dengan sihat dan produktif kerana bebas daripada alkohol.  Seterusnya, masalah sosial yang berkait rapat dengan minuman keras ini juga dapat diatasi.
Bahagian A (ii): Pemahaman (10 markah)
1.         Berikan maksud hilang keupayaan berfikir dalam petikan. [2 markah]
2.         Apakah kebaikan-kebaikannya jika kerajaan mengharamkan penjualan dan pengedaran arak di seluruh negara? [4 markah]
3.         Masih ramai rakyat Malaysia yang gemar minum minuman beralkohol walaupun mereka mengetahui bahawa minum minuman beralkohol memberi kesan buruk kepada kesihatan. Pada pandangan anda mengapakah keadaan ini berlaku?
Jawapan Ringkasan Dan Pemahaman

Ringkasan A (i)
Antara kesan pengambilan minuman berakohol adalah pertumbuhan bayi di dalam kandungan wanita hamil akan terbantut . Selain itu , risiko bayi itu akan mengalami kecatatan atau menghidap penyakit sangat tinggi . Antara kesan lain adalah ia akan menyebabkan kita tidak mampu mengawal emosi serta hilang keupayaaan berfikir. Selain itu , ia juga boleh meporak-porandakan sesebuah keluarga . Antara kesan lain adalah pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk setelah minum arak pula tidak dapat memberikan tumpuan semasa memandu .Akhir sekali kemalangan mudah berlaku dan mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Pemahaman A (ii)
1 . Maksud ‘hilang keupayaan berfikir ‘ adalah lemah daya ingatan .
2. Jika kerajaan mengharamkan penjualan dan pengedaran arak di seluruh negara , sudah tentu rakyat Malaysia dapat menjimatkan wang . Selain itu, ia juga dapat megurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk .
3. Pada pendapat saya , ramai rakyat Malaysia yang gemar minum minuman beralkohol walaupun mereka mengetahui bahawa minum minuman beralkohol memberi kesan buruk kepada kesihatan adalah kerana kurangnya pengetahuan yang lebih mendalam tentang keburukan alkohol dan juga sikap ingin mencuba lebih menguasai diri .